Hartamu Hartaku Jua...Hartaku Hartaku Sahaja ;-)

Baru-baru ini dlm dok telek semula research report kat UiTM dulu pasal pentadbiran harta pusaka, terjumpa artikel ini posted by Ibn Rajab Online. Menarik juga bila diteliti semula. Aku cakap pada anak2 ku, esok besar buatlah harta banyak2, bagi mama & babah sikit, pastu bila kami mati ambik lah balik. Tak yah nak pening2 bahagikan harta pusaka sbb mmg depa yg punya...boleh ker camtu? He..he..he. I think at the end of the day, it's love that matters not properties. I wish to die in peace, and stay peaceful in my grave!

Bismillahirrahmanirrahim

Harta Pusaka adalah harta peninggalan seseorang (selepas kematian) kepada para warisnya. Kebiasaannya peninggalan orang tua kepada anak-anak mereka. Boleh berlaku sebaliknya iaitu harta peninggalan si anak (yang meninggal terlebih dahulu) dan diwariskan kepada ibubapa. Pengurusan harta pusaka ini telah dijelaskan secara terperinci oleh Allah SWT melalui hukum al-Faraid (surah al-Nisa ayat 11 dan ayat 176).

Apabila sesuatu harta pusaka itu ingin dibahagikan, kebiasaannya semua mereka yang terlibat (samada anak-anak, isteri-isteri akan) dipanggil oleh pihak yang berkuasa, mereka diberi pilihan samada ingin membahagikan harta pusaka mengikut hukum al-faraid ataupun mengikut hukum biasa iaitu sama banyak antara lelaki dan perempuan (sebaliknya mengikut faraid, anak lelaki akan memperolehi dua bahagian manakala perempuan satu bahagian sahaja). Kebanyakan yang terjadi, sebahagian masyarakat memilih untuk tidak menggunakan pembahagian secara al-Faraid ini lalu memilih pembahagian sama rata.

Ulama bersepakat bahawa, sekiranya berlaku pertelingkahan walaupun daripada seorang wasi (yang layak menerima pusaka) maka hukum al-faraid wajib diikuti. Iaitu membahagikan harta pusaka mengikut ketetapan lelaki akan menerima dua bahagian manakala perempuan satu bahagian. Sebaliknya, jika ada kata sepakat (daripada semua pihak yang layak terima pusaka itu) maka mereka berhak membuat pilihan samada ingin mengikut hukum faraid ataupun pembahagian biasa. Kerana pada masa itu, tidak ada persengketaan bahkan mereka sebulat suara bersetuju.

Ada sebahagian ulama lain berpendapat, pembahagian harta pusaka mesti mengikut hukum al-faraid. Kerana ia adalah ketetapan Allah berkenaan pengurusan harta pusaka itu. Setelah dibahagi, dan (pihak wasi) masing-masing menerima hak masing-masing, maka bolehlah pada masa itu sekiranya mereka ingin sedekahkan bahagian mereka kepada mana-mana wasi lain (atas kerelaan sendiri). Kerana harta (bahagian) itu tadi adalah milik mereka. Terserahlah kepada mereka untuk menguruskannya.

Mengikut pendapat ana, samada membahagikan harta mengikut faraid atau undang-undang sedia ada sama sahaja sekiranya semua waris bersetuju. Bahkan kalau ikut faraid, sekiranya seseorang (wasi itu) orang kaya, manakala ada dalam kalangan adik beradiknya kurang kemampuan sedikit, sudah tentu si kaya tadi ingin bertimbang rasa dengan limpahan kurniaan rezeki Allah kepadanya, lalu ingin diberikan bahagiannya itu kepada saudaranya yang berada dalam kesempitan. Atas kerelaannya sendiri. Mungkin ada sedikit kerumitan daripada segi masa pengurusan. Iaitu setelah dibahagikan mengikut faraid, hendak pula diadakan majlis akad satu lagi, iaitu akad menyerahkan haknya. Tindakan sekiranya pilihan kedua (iaitu mengikut hukum biasa) diamalkan, maka itu akan lebih menjimatkan masa.

Namun sebaliknya, kalau timbul ketidak senangan dalam kalangan mana-mana pihak (wasi) yang terlibat, maka pendapat wajib menggunakan hukum al-faraid itu hendaklah diamalkan. Begitu juga sekiranya ada dalam kalangan wasi yang belum mencapai umur baligh. Iaitu had kematangan menguruskan harta dan mengeluarkan pandagan yang bijak. Pada masa itu juga, semua mereka yang terlibat wajib memilih untuk dibahagikan harta pusaka mereka ikut al-faraid. Wallahu aklam.

Ada juga orang bertanyakan ana. Sekiranya sebelum meninggal dunia, seseorang terlebih dahulu menjual harta pusaka mereka. Apa hukumnya. Jawapan ringkas (dengan pengetahuan yang cetek ini) ana menjawab, kerana hak masih ditangannya, dan disertakan dia adalah orang yang layak menguruskan harta, maka tiada sekatan untuk dia menjual hartanya walaupun harta itu bukan hasil usahanya tetapi adalah harta pusaka.

Cuma kalau mengikut pandangan peribadi ana, tidak patut sangatlah seseorang menjual harta pusaka mereka (yang berupa harta tanah, bangunan, syarikat dan aset bernilai yang lain) kerana semua itu bukan 100 peratus miliknya. Iaitu harta itu tidak diperolehi dengan hasil titik peluh sendiri. Sebaliknya hanyalah diwarisi dari generasi sebelumnya. Kita sudah tentu sedia maklum bahawa, kalaulah ia sebidang tanah, maka sudah tentu pewaris awalnya berniat untuk ia diwarisi oleh anak cucu. Kalau dahulu mereka nak jual dan tinggalkan harta berbentuk wang ringgit, sudah tentu mereka lebih berhak untuk jual. Kecualilah harta peninggalannya hanyalah sekangkang kera, atau dua tiga unit saham syarikat, sudah tentu sukar untuk dipertahankan dan diwarisi oleh bilangan wasi yang ramai. Dengan itu bolehlah dijual.

Seperkara lagi ana selalu perhatikan, sekiranya seseorang itu gemar sangat menjual harta pusaka, lama kelamaan sifat suka menjual itu menjadi suatu ketagihan. Sehingga habis harta pusaka peninggalan orang tua dijualkannya, dan tidak ada langsung yang boleh ditinggalkan kepada waris yang terkemudian. Apa yang lebih menyedihkan, walaupun selalu jual (biasanya tanah) harta pusaka, nasib mereka tidak juga berubah. Malah semakin miskin, sukar mencari rezeki dan dipandang hina juga dalam masyarakat. Mereka ini diibaratkan sebagai orang yang mendapat bekalan ikan tetapi tidak tahu menahu tentang cara bagaimana memancing atau mendapatkan ikan yang lain.

Oleh yang demikian, berhati-hatilah apabila kita berhadapan dengan pengurusan harta pusaka. Pertama sekali, seboleh mungkin kita usaha untuk gunakan kaedah pembahagian yang disyorkan oleh syarak iaitu dengan menggunakan hukum faraid yang dijamin lebih berkat. Keduanya, jangan sesekali kita ada hati untuk menjual harta pusaka, sebaliknya menjadikan ia sesuatu yang boleh diwarisi dari satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Orang kata biar ada kenang-kenangan.

Paling baik, kalaulah kita mampu, maka wakafkanlah harta pusaka itu untuk dijadikan masjid, surau atau tempat-tempat kebajikan yang lain. Kerana hasilnya (pahala wakaf iaitu amal jariah) nanti akan mengalir bukan sahaja kepada akaun kita (di sisi Allah) secara berterusan bahkan kepada akaun-akaun orang tua kita yang telah meninggalkannya untuk kita suatu ketika dahulu. Ingatkan penat lelah dan hasil titik peluh mereka. Lakukanlah yang terbaik kerana mereka sebagai orang tua selalu memikirkan kebaikan kita. Apa salahnya kalau kita pula membalasnya dengan melakukan yang lebih baik buat bekalan mereka (di sisi Allah sana).

Kalau nak dirikan rumah, nak duduk rumah besar, ada tanah dan kebun maka bekerja keraslah ke arah itu. Berusahalah mencari rezeki yang Allah sediakan. Kalau orang tua boleh buat, masakan kita selaku waris mereka yang terkenal dengan pandai buat harta ini tidak dapat lakukannya. Takkan pandai perhabis harta sahaja. (Ouch!)

Sekian, wallahu aklam dan wassalam.

Comments

Popular Posts