Relaku dipujuk Rasulullah

Beberapa hari sudah memujuk hati. Beberapa hari sudah memikirkan bagaimana mahu mendidik anak-anak agar menjadi pemurah walaupun kekurangan. Beberapa hari sudah memujuk hati. Beberapa hari sudah memikirkan bagaimana mahu mendidik anak-anak agar tidak terkesan dengan keindahan duniawi. Beberapa hari sudah memujuk hati. Beberapa hari sudah memikirkan bagaimana mahu mendidik anak-anak menjadi berani kerana berada di jalan kebenaran. Beberapa hari sudah memujuk hati. Beberapa hari sudah memikirkan bagaimana Rasulullah? Bagaimana lakumu? Apakah langkahmu? Maka kisah hidupmu memujuk hati:


*****************************************

Pada suatu hari seseorang datang menemui Rasulullah s.a.w dan meminta (sesuatu) daripada baginda. Baginda memberikan kambing yang begitu banyak sehingga mengisi ruang lembah antara dua bukit.


Dengan pemberian itu orang terbabit segera kembali kepada suku kaumnya lalu berkata: "Anutilah agama Islam, kerana Muhammad akan memberikan pemberian yang tidak takutkan kemiskinan."


Satu kisah lain, seorang membawa 90,000 dirham lalu diletakkan di atas tikar. Kemudian Rasulullah s.a.w menghampirinya lalu membahagi-bahagikannya. Tidak seorangpun yang ditolak permintaannya sehingga habis wang berkenaan.


Bukan kambing atau dirham yang mahu dikongsikan di sini, tetapi inti kepada kisah terbabit iaitu sifat pemurah baginda, mengutamakan kepentingan orang lain berbanding keperluan peribadi.


Pemurah adalah sifat terpuji. Orang yang mempunyai sifat itu akan disanjung dan disenangi ramai.

Justeru, Rasulullah s.a.w, sahabat dan golongan yang mengikut jejak langkahnya mengamalkan sifat pemurah mendapat pujian sepanjang zaman.


Lawan kepada sifat pemurah ialah bakhil. Orang yang bersifat bakhil selalunya akan dijauhi, tidak mempunyai ramai kawan dan tidak disukai masyarakat di sekeliling. Jika begitu, sudah tentu bagi orang yang bakhil ialah kerugian.

"Orang yang mendiami kota (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada di dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka mengutamakan (kaum Muhajirin itu) lebih daripada diri sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan sesiapa yang memelihara dirinya daripada kebakhilannya, mereka itulah orang yang berjaya.
(Surah al-Hasyr:9)


Bagi masyarakat Arab, sifat yang selalu disebut dan dibanggakan ialah pemurah dan berani. Sebaliknya sifat bacul dan bakhil paling dibenci oleh bangsa itu.

Golongan bangsawan bangsa itu saling berlumba untuk mendapatkan gelaran dua sifat yang pertama dan mereka takut diberikan dua sifat yang kedua.

Di kalangan sasterawan mereka, tiada senjata lebih berkesan untuk menjatuhkan pihak lawan selain dua sifat terbabit, diolah sehingga pudar maruah empunya diri.


Jika sedemikian tinggi kedudukan sifat pemurah pada kepercayaan dan pandangan bangsa Arab, pada diri Rasulullah s.a.w sudah tentu lebih tinggi. Sifat pemurah baginda adalah sifat yang tertinggi disanjungi Allah.

Logik dan menepati fitrah ialah sifat ini menjadi sebati dengan darah daging baginda yang dihayati dalam bentuk dan taraf tidak tercapai oleh segala manusia pemurah seperti yang terbukti dalam sepanjang perjalanan hidupnya.


Malah, sifat pemurah Rasulullah s.a.w dan bentuknya mempunyai keistimewaan yang berbeza dari bentuknya yang dikenali umum seluruh bangsa Arab.

Jika ada antara kita bersifat pemurah kerana untuk mendapat nama dan pujian, tetapi tidak pada diri Rasulullah. Sifat pemurahnya bukan kerana pujian dan sanjungan atau menutup kekurangan.


Jika ada sesetengah orang Islam menonjolkan sifat pemurahnya kerana mahu memancing hati orang ramai, tidak sedemikian pada diri Rasulullah, kerana baginda pemurah bukan untuk berbangga dan memancing hati orang.

Pemurahnya baginda kerana jalan Allah dan reda-Nya, untuk mendaulatkan agama, memperjuangkan sifat terpuji kemanusiaan supaya tersemat di dalam setiap jiwa, sekali gus mengikis segala sifat yang merugikan.


Sifat pemurahnya untuk membantu fakir dan miskin sama ada kerana kelemahan mereka mendapat pekerjaan dan sara hidup yang cukup atau kerana ketiadaan harta dengan sebab berjuang di jalan Allah.


Baginda bersifat pemurah untuk menaungi anak yatim dan ibu yang janda, malah membantu hamba yang ingin memerdekakan diri dari milik tuannya dengan pembayaran yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Sifat mulia baginda itu juga membantu mereka yang berminat kepada Islam supaya lebih mesra dan lebih yakin kepada agama Allah.

Justeru, baginda tidak berkira dalam soal itu. Sifat pemurah baginda adalah suatu pengorbanan dari kepentingan diri dan keluarga untuk kepentingan orang lain.


Rasulullah s.a.w membelanjakan semaksimum yang dapat pada jalan Allah tanpa mengharapkan balasan tetapi seminimum yang mungkin untuk keperluan diri dan keluarganya.

Ini kerana baginda lebih sanggup menanggung kepayahan dan bersabar.
Saidatina Aisyah r.a menceritakan: Rasululllah s.a.w tidak makan (kenyang) tiga hari berturut-turut sehingga baginda wafat.


Andai antara kita mempunyai sifat serupa, walaupun tarafnya tidak sama, pasti orang susah dan anak yatim terbela, malah Islam semakin didekati dan digemari.


***************************************

Maka kisahmu ini membuat hati pun menangis lagi, kerana malu denganmu. Bagaimana mungkin aku bisa mendidik anak-anakku menjadi pemurah dan berani sepertimu, kiranya aku sendiri masih terkesan dengan keindahan duniawi dan takut mengolahkan kata kebenaran! Malu lagi, Ya Rasulullah kerana terpaksa memujuk hati kerana amarah yang merugikan. Bagaimana Ya Rasulullah? Bagaimana aku? Bagaimana? Ya Rasulullah, bantu lah aku, hulurkan lah secebis sifat pemurah dan beranimu itu agar hati ini tidak terkesan lagi. Agar cebisan sifat muliamu itu dapat memujuk hati ku.


Salam Buatmu Rasululullah. Semoga kita dapat bertemu suatu hari nanti...


Comments

  1. best dapat baa serba sedikit cerita rasul kita...cuti2 maulidur rsul dipenuhi dengan ilmu...

    ReplyDelete
  2. Semoga bermanfaat buat semua, Salam Maulidur Rasul...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts