Perihal niat dalam menuntut ilmu
Hari ini dapat sedikit ilmu
baru di dalam pengajian Kitab Hidayatussalikin bersama Ustaz Saiful Islam di
pejabat. Aku rasa amat sesuai dikongsikan bersama lebih ramai pembaca yang
melewati blog ini. Malah telah aku updatekan di FB personal dan FB page pelajar
sekali.
Tajuk hari ini adalah berkenaan kelebihan menuntut ilmu yang
bermanfaat. Antara perkara yang dikupas oleh ustaz adalah bab niat di dalam
menuntut ilmu.
Niat di dalam menuntut ilmu perlulah dengan tujuan:
- mencari keredhaan Allah
- ilmu tersebut diamalkan bagi mendapat manfaatnya
- untuk keluar daripada kejahilan
Niat yang tidak punya tujuan sedemikian adalah salah. Niat yang salah
dalam menuntut ilmu membawa implikasi berikut:
"Maka ketahui olehmu bahawasanya engkau jika menuntut ilmu dengan
tujuan
- untuk bertanding kehebatan, bermegah-megah, mendahului rakan-rakan
(dalam ilmu),
- mendapatkan perhatian atau pandangan manusia kepada engkau, atau
- menghimpunkan kekayaan dunia,
nescaya engkau sedang menuju kepada meruntuhkan agamamu, membinasakan
diri sendiri, dan menjual akhiratmu dengan duniamu, maka tentu sekali ia
suatu urusniaga yang merugikan dan perniagaan yang binasa. Malah gurumu sendiri
yang membantu dalam kemaksiatanmu serta bersekutu dengan engkau dalam kerugian
engkau. Dia seperti seorang penjual senjata kepada penyamun jalanan.
Bersesuaian dengan sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam:
Sesiapa yang membantu kemaksiatan walau dengan separuh kalimah, maka ia
termasuk bersekutu dalam kemaksiatan itu." ~ Imam al-Ghazali (Bidayah
al-Hidayah)
Na'uzubillah. Astaghfirullah.
Namun, Imam al-Ghazali turut menyatakan ganjaran bagi mereka yang
mempunyai niat yang betul dalam menuntut ilmu:
"Dan jika niat dan tujuanmu antaramu dengan Allah dalam mencari
ilmu, adalah untuk mencapai hidayah, bukan semata-mata bermegah dengan riwayat,
maka bergembiralah, kerana sesungguhnya para malaikat melebarkan sayapnya
ketika kamu berjalan, dan segala ikan di laut mendoakan keampunan bagimu dalam
setiap langkahmu menuntut ilmu itu."
Subhanallah, bayangkan semua ikan di lautan Allah mendoakan
kita. In Sha Allah sama-sama kita berusaha meluruskan niat menuntut ilmu
semata-mata keranaNya :-) Sekiranya kita pernah tersasar segeralah kita mohon
keampunan daripada Allah, Astaghfirullah, dan meneruskan perjuangan kita
menuntut ilmu yang bermanfaat.
Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda:
"Sungguhnya bahawa berpagi-pagi seorang kamu, maka belajar ia
akan satu bab daripada ilmu, nescaya terlebih baik baginya daripada ia solat
sunat seribu rakaat."
In Sha Allah dipermudahkan. Ameen.
Comments
Post a Comment