Rindu



Tarikh ini setahun yang lalu, aku bertemu buat kali terakhir dengan Mak We - nenda tercinta. Dalam kucupan dan dakapan, Mak We berpesan ‘Jagalah diri dan anak-anak’. Dalam linangan air mata, aku katakan ‘Insya Allah, panjang umur, nanti kita berjumpa’ walaupun jauh di sudut hatiku, aku berkata-kata mungkinkah. Sudah tentu zahirnya aku masih berharap Allah akan memberikan kami semua sedikit lagi masa bersamanya. Tapi kita hanya merancang, Allah yang menentukan. Tepat dua minggu selepas pertemuan terakhir itu, di subuh 2 Syawal beliau pergi menghadap Ilahi.

Masih terngiang-ngiang suara pilu Abah menerima perkhabaran berita. Ayat-ayat terakhirnya ‘Tunggu aku sampai!’. Kami bergegas pulang dari Kuantan ke Tanjung Bidara. Alhamdulillah kami sekeluarga semua selamat tiba ‘in record time’ memandangkan cara pemanduan adik sebagai kepala konvoi 4 kereta yang kadang-kala ‘bridging on the side of suicidal’! Di sepanjang perjalanan, minda kami semua tertumpu kepada keretanya dan pada masa yang sama mendoakan Allah memudahkan perjalanan kami pulang bagi bertemu jasad Mak buat kali terakhir.

Sejurus tiba, kami semua tujui ‘rumah Ibu’ yang diapit rumah kedua-dua ibu saudaraku. Jasad Mak diletakkan di ruang tengah rumah, di kelilingi semua ahli keluarga yang melimpah sehingga ke ruang dapur dan serambi rumah. Masakan tidak, Arwah meninggalkan 8 orang anak, dan hampir 60 orang cucu dan cicit. Aku lihat mak kelihatan seperti di dalam tidur yang amat dalam dan rupa parasnya lebih muda daripada umurnya. Aku dakap Abah We dan ketiga-tiga ibu saudaraku. Aku lihat Abah dan kemudian bapa saudaraku membisikkan kata-kata terakhir mereka kepada arwah Mak. Suasana sungguh sayu dan pilu sekali.

Apabila tiba masa untuk memandikan jenazah, kelima-lima anak lelaki Mak ingin turut sama menguruskannya. Sehinggakan ditegur Ustazah yang mengepalai urusan jenazah bahawa afdhalnya hanya yang Muhrim perempuan sahaja yang melakukannya. Namun Ustazah benarkan kelima-lima mereka melalukan air pertama dan yang seterusnya diuruskan ketiga-tiga ibu saudaraku dan beberapa sepupu-sepupu perempuanku. Aku serahkan semua anakanda kepada suamiku dan turut berada di ruang mandi, melihat bagaimana kesemua mereka memandikan arwah dengan penuh kasih sayang dan membantu sedikit urusan kafan. Sesungguhnya, ini kali pertama aku menyertai hal-hal urusan jenazah. Dan atas kelemahan aku sebagai insan biasa, perkara yang seharusnya mengingatkan aku akan mati, ketika itu hanya dikaburi perasaan sedih kerana akan berpisah dengan jasad Mak.

Selepas selesai urusan mandi dan kafan, Ustazah beri sedikit ruang masa buat kami semua memberikan kucupan terakhir. Jenazah Mak kelihatan tenang, seolah-olah tersenyum :-) Apabila tiba giliranku, aku tarik nafas sedalam2nya, seka baki air mata aku agar tiada yang tumpah di wajahnya dan kucup dahinya. Dalam kucupan aku doakan agar Allah permudahkan perjalanan Mak di alam sana. Bisikan terakhirku ‘Mak, saya akan ingat pesanan-pesanan Mak’. Alhamdulillah, urusan pengkebumian selesai sekitar Zohor. Jenazah Mak diiringi berpuluh-puluh ahli keluarga dan jiran tetangga. Aku berziarah kemudianya bersama Aliyah, in a private session - banyak sungguh ingin dikatakan kepada Mak.

Sesungguhnya kami semua kehilangan. Kehilangan pengikat kasih. Walaupun Mak tiada sebarang pendidikan formal, namun Mak senantiasa mengajar kami walau apa sekalipun, yang lebih utama adalah kasih sayang dan menghormati sesama ahli keluarga. Keutamaan inilah yang menyebabkan keberadaannya sentiasa dirasai, walaupun Mak tiada di depan mata. Sehingga akhir hayatnya, walaupun uzur Mak sentiasa berusaha memuliakan dan mendahulukan suaminya. Walaupun ada masanya Mak kelihatan kalah dan mengalah, namun bak kata pepatah Inggeris, Mak kemungkinan ‘lose the battle’ tetapi Mak ‘always win the war’! Alangkah bagusnya, jikalau sikapnya ini dapat sentiasa aku adaptasi. Doakan kami Mak! 

Buat kalian pembaca yang bijaksana, sama-samalah kita sedekahkan doa dan Al-Fatihah untuk nenda yang sangat kami kasihi ini - Hajah Che Wah bt Baba.  I am sure if you have had the chance to meet in her, in her lifetime, you would have loved her like we do :-) 


Begitu jua, aku mendoakan arwah nenda lelaki sebelah ibuku, Othman b Tahir, lovingly known as 'Atuk Uban' yang telah hampir 22 tahun meninggalkan kami. Semoga Atuk diberi kelapangan di sana sementara menanti hari perhitungan kelak.


Jutaan terima kasih aku ucapkan atas doa-doa kalian, walaupun kalian tidak mengenali nenda-nenda kami ini.Semoga Allah turut sama mempermudahkan jua urusan anda semua. Amin.

Comments

Popular Posts