Politik Pejabat - Pembuli Berilmu

Mendengar luahan hati dan perasaan sahabat-sahabat yang dibuli di tempat kerja adalah pengalaman menginsafkan. Insaf, kerana selepas perasaan terkejut, marah bercampur geram berlalu, timbul kesedaran bila mengenangkan bagaimana orang-orang yang dikatakan berpelajaran tinggi ini rupanya tidak semuanya berada di bawah ihsan Allah dalam bekerja. Mereka melakukan pelbagai perkara yang tidak masuk dek akal terhadap rakan-rakan sekerja yang juga orang-orang berilmu hanya atas nama memenuhi KPI. Itu tidak termasuk lagi yang dengki khianat terhadap kejayaan orang lain dan menjalankan pelbagai kempen termasuk fitnah untuk menjatuhkan mereka. Ada yang terpaksa mengambil cuti panjang kerana hampir kemurungan, dan ada yang memang sudah disahkan kemurungan. Ada yang memohon berpindah lokasi tempat berkerja dan ada yang bersara lebih awal. Ada yang sampai sudah putus asa dan tunggu mereput sahaja, tidak lagi mahu melakukan apa-apa untuk organisasi.

'Pembuli berilmu' ini mempunyai kriteria (bukan syarat) yang seakan-akan sama sahaja di mana-mana. Mereka mempunyai keterampilan dan gaya 'memukau', bijak berkata-kata dan licik mengambil kesempatan terhadap orang lain tanpa rasa bersalah, segan atau silu. Mereka ini juga kebanyakannya 'tong kosong' dan mengalami masalah 'inferiority complex' yang kronik, tetapi tidak mengakuinya atau gagal mengakuinya. Maka mereka gemar berpaut pada kelebihan orang lain, namun jarang sekali mahu berkongsi pencapaian mereka bersama-sama. Dan sekiranya pembuli ini mempunyai kuasa pentadbiran ke atas mereka yang dibuli, akan mereka gunakan kuasa itu untuk menekan staf bawahan tersebut sepenuhnya.

Kalau boleh aku senaraikan semua tingkah laku mereka, pasti satu perkataan sahaja yang bermain di minda - KEJI!

Pembuli juga bijak memilih 'mangsa'. Kebanyakan yang terkena adalah mereka-mereka yang pandai dan rajin membuat kerja tanpa banyak persoalan dan bangkangan. Mereka bukan jenis manusia yang suka mendabik dada, malah gemar membantu dan bekerjasama dengan orang lain. Lumrah orang berilmu yang sebenar, lebih berilmu, lebih lagi mereka merendah diri dan tidak suka berbalah sentiasa. Maka, semuanya merana dalam diam sehingga menggugat kesihatan jiwa dan raga. Diam inilah yang pembuli 'harapkan', diam inilah yang membuat mereka ini lebih bermaharajalela, diam inilah yang menggalakkan budaya surat layang, diam inilah yang membuatkan staf hilang kepercayaan di antara satu sama lain kerana dilagakan oleh pembuli. Bergelumang toksik semuanya.

Maka, apa pilihan kita?

Aku memilih untuk tidak lagi berdiam diri. Aku memilih untuk membangkitkan apa yang terbuku di hati. Aku memilih untuk 'bersuara'. Aku tahu, bukan mudah untuk bersuara. Pembuli tidak akan berubah. Mereka akan terus melakukan pelbagai perkara-perkara untuk menutup pembulian lampau dan terus melakukan pembulian. TYPICAL, bak kata mat saleh! Tapi aku tidak mahu menjadi mangsa lagi dan lagi. Pembuli ini sebenarnya pengecut orangnya. Kerana itu yang dipilih untuk dibuli adalah mereka yang dianggap 'baik' orangnya, jenis yang menurut kata.

Ya, mungkin dahulu aku seperti itu, mungkin juga masih seperti itu. Namun kini, aku tidak lagi relakan pembuli pengecut ini melakukan pembulian ini tanpa mengetahui bahawa setiap langkah mereka kini tidak lagi kebal seperti sebelum ini. Eventually, sooner or later, they must pay for all their misdeeds.

Khalas

Comments

Popular Posts