Kisah & Kasih

Kelmarin sedang melihat-lihat gambar-gambar terakhir di lapangan terbang Melbourne sebelum berangkat pulang, terasa agak tersentuh, bukan sahaja kerana rindu pada sahabat-sahabat yang masih di sana, tetapi juga kerana terasa bersalah kerana sudah lama tidak menulis. 4 bulan kebelakangan ini banyak sungguh perkara yang berlaku, tetapi dek kerana mengisahkan suntingan terakhir tesisku, semuanya hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Apabila aku belek-belek diariku dari 2 minggu terakhir bulan Mac sehinggalah beberapa minggu kebelakangan ini, setiap hari hanya ada satu dua catatan ‘petanda’ apakah kepentingan kisah setiap hari-hari tertentu. Sayang sekali kemungkinan untuk mengisahkan semuanya mungkin telah terlepas.

Tetapi apabila mengingati semula detik-detik terakhir di Melbourne, aku berasakan aku harus mencuba mencoretkan semula beberapa kisah penting paling tidak untuk tatapan aku dan keluarga, dan mana tahu ada kisah-kisah tersebut punya faedah bagi pembaca lain. Hehe...itupun kalau masih ada yang membaca.  Kadang-kadang walaupun salah satu hobiku sejak kecil adalah menulis, bukan mudah nak meluahkannya ke atas sekeping kertas, blog mahupun FB. Ada hati yang perlu dijaga, aib yang diperlu diselindungi dan rahsia yang perlu dikekalkan di dalam hati. Aku berdoa agar dalam penulisan –penulisan seterusnya kelak, prinsip-prinsip ini aku pegang seteguh mungkin, Insya Allah.



One last coffee session together... 
Entah bila bisa mengopi begini lagi :-(


One last group shot at the airport ...

Buat kali ini, coretan ini hanya sebagai luahan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang di dalam perjalanan PhD ku ini.  Aku kini kembali sebagai ‘rakyat biasa’, selepas 4 tahun diamanahkan menjadi pelajar sepenuh masa PhD. Sesungguhnya pelbagai kenangan pahit, manis telah ditempuhi dalam masa 4 tahun ini. Sekiranya ada yang bertanya apakah harus mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah, pasti jawapanku berbeza-beza mengikut siapa yang bertanya. Usah ditanya kenapa, sebab adat meletakkan keadilan ke atas jawapan persoalan itu membutuhkan begitu... 

Walau apapun, aku seisi keluarga sangat-sangat berterima kasih kepada semua yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung, dan yang turut mendoakan kami sekeluarga sepanjang berada di Australia. Ampun dan maaf ku pohon seandainya selama ini ada salah dan silap kami sekeluarga dan terkasar bahasa terhadap semua ahli keluarga kami dan teman-teman sepanjang kami menetap dan berurusan baik di Australia, mahupun Malaysia. Minta dihalalkan makan dan minum aku sekeluarga dan sekiranya ada hutang-hutang yang belum selesai dan barangan yang belum dituntut sila maklumkan kepadaku.

Sesunggguhnya aku jua sangat terharu dan berterima kasih kepada teman-teman yang sudi menceriakan hati dan berkongsi kisah dan kasih denganku dalam mengharungi hampir 4 bulan terakhir dalam usaha menamatkan perjuanganku tanpa suami dan anak-anak di Melbourne. Alhamdulillah kerana dipertemukan aku dengan semua sahabat-sahabat yang baik ini. Sesungguhnya budi baik dan kasih sayang mereka semua hanya Allah yang bisa membalasnya. Aku akan senantiasa mendoakan teman-teman yang masih di dalam perjuangan semoga segala urusan anda semua dipermudahkan Allah hendaknya dan bakal bertemu titik akhir yang mereka semua impikan, Amin.

Comments

Post a Comment

Popular Posts