KSSR - Updated

Ramai mungkin tidak tahu, terutama bagi yang sedang berada di perantauan (akulah antaranya he..he..) yang Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini telah memperkenalkan kurikulum baru bagi sekolah-sekolah rendah, KSSR - Kurikulum Standard Sekolah Rendah (sila rujuk laman web ini untuk maklumat lanjut) yang bermula tahun lepas (2011) selepas beberapa ratus sekolah menjalani uij rintis (pilot) pada tahun 2009. Pada masa yang sama KBSM akan terus digunakan sehinggalah pelajar-pelajar di bawah kurikulum lama tersebut tamat sekolah. Ini juga bermakna, UPSR kelak akan diubah bentuk penilaiannya berdasar kepada KSSR ini.

KSSR digubal berdasarkan 2 standard - standard kandungan dan standard pembelajaran. Standard kandungan menekan kepada perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard pembelajaran pula merujuk kepada satu penetapan kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.  

KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Subjek-subjek di bawah KSSR adalah kurang sedikit berbanding dengan subjek-subjek KBSM kerana adanya penggabungan beberapa subjek menjadi satu. Namun demikian ada juga pengenalan subjek baru di dalam Modul Asas Elektif, iaitu Bahasa Arab dan bahasa-bahasa lain, contohnya Bahasa Iban dan Kadazan. Hanya satu elektif bahasa sahaja yang dibenarkan bagi setiap pelajar di bawah Modul Asas elektif tersebut (tertakluk kepada apa yang ditawarkan di sekolah berkenaan). Modul Asas Teras melibatkan pengajaran matapelajaran asas iaitu, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Islam, Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan. Subjek-subjek berkisar kepada Dunia Seni Visual, Dunia Muzik dan Dunia Sains dan Teknologi akan diajar di dalam Modul Teras Tema.  

Menurut KPM, tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan menekankan aspek penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai. Manakala bagi tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai.

Pengenalan KSSR pada tahun lepas ini bermakna, persekolahan Aliyah di Malaysia akan juga tertakluk kepada kurikulum baru ini. Alhamdulillah baru satu tahun sahaja terlepas, maka usaha untuk mengejar penguasaan subjek-subjek tahun lepas tidaklah begitu membebankan. Tambahan pula mengikut penerangan guru besar sekolah pilihan kami (it's the only girls school in SP), di bawah KSSR, 60% daripada penilaian pelajar kini adalah berdasarkan kepada usaha meningkat kemahiran dan pencapaian pelajar tersebut sepanjang tahun dan bukanlah lagi tertumpu 100% kepada peperiksaan. (fuhhh legaaa...he..he..he) Malahan, kata beliau lagi, tidak ada lagi istilah A, B, C, tapi kini ditukar kepada Band 1 - Band 6. 

Pengajaran dan pembelajaran di bawah KSSR juga tidak lagi menggunakan kini menggunakan buku teks yang (lebih santai) dan turut menyertakan buku kerja iringan. Buku-buku tersebut diberi percuma kepada semua pelajar tidak kira pendapatan keluarga.(No more skim pinjaman buku teks) Di samping itu, akan ada juga modul-modul KSSR yang akan dikelolaguru-guru subjek berkenaan. Kemungkinan ada sedikit isu subjektiviti di dalam menilai pelajar oleh guru sepanjang tahun walaupun guru perlu menilai berdasarkan kepada kriteria atau indikator pencapaian yang telah ditetapkan. Tapi pada pendapat aku, pengenalan KSSR ini adalah amat bersesuaian bagi menggantikan KBSR yang telah lapuk dan begitu 'rigid' itu. Cuma sekarang ini bertambahlah lagi tugasan guru-guru sekolah, terutamanya KBSR juga masih ada lagi sekurang-kurangnya sehingga 4 tahun lagi. Sebagai ibubapa kita perlulah fahami 'kesengsaraan' seorang guru mendidik anak bangsa dan turut membantu mengurangkan beban tersebut dengan lebih mengambil tahu berkenaan kurikulum baru ini dan memahami cara pelaksanaannya. Mungkin ianya masih baru, tetapi adalah diharapkan KSSR ini adalah lebih baik dalam membantu mendidik anak-anak Malaysia menjadi modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan mempunyai nilai-nilai murni, Insya Allah.    

Comments

Popular Posts