Yang Sudah Pasti

Yang sudah pasti itu mati, antara bunyi Tazkirah Ustaz Azizi di majlis tahlil Arwah Dr Kamal Ismail petang tadi di Thomastown. Ya, aku tahu. Yang pastinya itu semua orang pun tahu. Tetapi sama ada kita melakukan persediaan sebaiknya ke arah itu yang belum pasti. Semoga Arwah yang kembali ke rahmatullah petang semalam berada di dalam golongan yang senantiasa di dalam persediaan ke arah itu, Insya Allah. Amin. 

Dr Kamal selalu dipanggil Pak Tam atas permintaannya. Aku selalunya kurang gemar untuk memanggilnya Pak Tam, kerana terasa seperti lebih hormatnya dia dipanggil Dr Kamal sahaja. Tetapi kadang-kala aku akur. Aku mungkin tidak serapat beberapa rakan-rakan lain dengannya di sini. Malah mungkin ramai yang tidak tahu, kami sekeluarga dan keluarganya dan Kak Hada tiba di minggu yang sama di Melbourne. Bak kata Kak Hada, sama-sama berebut rumah dengannya ;-) Sama-sama menggigil kesejukan dek kerana penangan cuaca musim sejuk di Melbourne ketika itu, sama-sama mendaftar sebagai pelajar PhD di La Trobe University.

Kami berdua, juga Niza pula punya supervisor yang sama. Kerana itu jugalah, jikalau dengan rakan-rakan lain arwah mungkin mengisahkan ceritera hidupnya yang lain di sini, dengan kami selalunya ceritanya akan berkisar kepada perjuangan Phdnya. Pernah sekali ralit sekali bercerita kisah arahan-arahan supervisor kami itu di koridor, sehinggakan tidak perasan supervisor itu ada di belakang menegur kami dengan ayat-ayat selalunya 'Ah, Malaysians, always lounging around' Kelakar pun ada, nasib baik tak bocor rahsia :-D

Sejak setahun lepas acapkali dia katakan keinginannya untuk pulang awal. Sememangnya mengikut perancangan terdekat kami di antara aku, dia dan Kak Hada, seharusnya kami pulang dalam masa yang sama. Sesungguhnya Allah lebih menyayangi. Dijemput Arwah pulang lebih awal mengadapNYA. Kali terakhir bertemu Arwah di rumah terbuka Kak Dayah pada 18 September lalu. Apabila dikenang kembali kerapkali juga bertemu bulan September lalu, mungkin juga kerana bulan Syawal. Di pagi hari raya contohnya, sempat aku tegur lensa kamera barunya. Tetapi sememangnya lebih kerap daripada selalu. Namun tiada kesempatan bertemu di hospital sebelum pembedahannya kerana aku perlu terbang ke Seoul. Hanya ucapan selamat daripada aku yang disambut dengan permohonan maaf dan terima kasih daripadanya.

Gambar terakhir Arwah dalam simpanan - 18 September 2011
Kadangkala dihambat perasaan bersalah mengenangkan apatah mungkin aku tidak mencuba membantu Arwah sebanyak mungkin di dalam perjuangan penyelidikan Phdnya :-( Tetapi bak kata Kak Nor, isterinya, 'yang sudah lepas usahlah dikenang. Arwah pun sudah tiada. Doakan Arwah tenang di sana'. Untung sungguh Dr Kamal punya seorang isteri dan anak-anak yang solehah. Anakanda sulungnya, Fatiha, 12 tahun, akur mendengar nasihat dan pesanan menjadi tonggak kekuatan buat bonda tercinta. Semoga kehidupan mereka sekeluarga di tanahair kelak dipermudahNYA, Insya Allah. Amin.

Sesunggunya Dr Kamal punya suatu aspirasi. Aspirasi itulah yang membawanya ke sini, berjuang menuntut ilmu. Seperti itulah aku mahu mengenangnya. Semoga Allahyarham Kamal Ismail ditempatkan di kalangan para solehin. Semoga beliau tenang di sana. Al- Fatihah. 

Comments

  1. Al-fatihah buat Arwah. Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang2 yang beriman. Amin

    ReplyDelete
  2. lawatan sambil belajar kat sini...:)
    salam kenal utk tuan rumah

    ReplyDelete
  3. Takziah utk Fadzlina di atas kehilangan rakan seperjuangan, Dr Kamal, buat selamanya.

    Al-Fatihah buat arwah. Moga ianya di tempatkan di kalangan orang2 yg beriman.

    Terus eratkan silaturrahim dgn isteri dan keluarga arwah.

    ReplyDelete
  4. Al Fatihah buat sahabatku Dr Kamal Ismail. Semoga di tempat orang yang beriman...dirimu dalam kenangan, ingatan dan doa kami.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts